Isnin, 8 September 2014

Botol plastik PET tetap selamat diguna: MPF | Pembuat Botol Plastik PET


Sumber: http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Sunday/Nasional/20060917002111/Article/ 


KUALA LUMPUR: Botol plastik Polyethylene Terephtalate atau lebih dikenali sebagai PET yang digunakan secara meluas sebagai botol air mineral dan minuman ringan bukan saja selamat, malah boleh digunakan berulang kali. 

Forum Plastik Malaysia (MPF) memberi jaminan itu berikutan kebimbangan di kalangan sesetengah masyarakat bahawa botol plastik PET membahayakan kesihatan manusia. 

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan MPF, Ahmad Khairuddin Sha’aban, berkata kebimbangan itu sebenarnya mencerminkan kesedaran masyarakat yang semakin tinggi terhadap kesihatan dan alam sekitar. 

Katanya, MPF yang dianggotai tiga persatuan dalam industri plastik, Persatuan Petrokimia Malaysia (MPA), Persatuan Pengeluar Plastik Malaysia (MPMA) dan Kumpulan Pengeluar Plastik Resin (PRPG), melihat keadaan itu sebagai perkembangan positif dalam masyarakat. 

Bagaimanapun, katanya, MPF melihat keperluan supaya masyarakat mendapat pemahaman tepat mengenai botol plastik PET. 

“Botol plastik PET yang digunakan secara meluas dalam industri minuman negara ini terikat dengan peraturan ketat bukan saja pihak berkuasa kesihatan negara, malah memenuhi piawaian Pentadbiran Makanan dan Dadah (FDA) Amerika Syarikat,” katanya kepada Berita Minggu. 

Selain FDA, Ahmad Khairuddin berkata, penyelidikan dan laporan organisasi plastik negara lain seperti Persekutuan Plastik Afrika Selatan dan Persatuan Industri Plastik dan Kimia Australia (PACIA) menyokong penggunaan botol plastik PET. 

Katanya, PACIA menyatakan bahawa botol plastik PET tidak mengandungi bahan kimia yang dikenali sebagai karsinogenik, sekali gus menafikan dakwaan penggunaan botol plastik PET berulang kali menyebabkan pengguna berisiko terdedah kepada bahan kimia itu. 

Beliau berkata, tanggapan bahawa botol plastik PET berbahaya adalah akibat salah faham mengenai proses pembuatan botol plastik itu. 

“Ini terutama membabitkan penggunaan DEHA sebagai bahan untuk menjadikan plastik bersifat fleksibel atau mudah dibentuk. Kajian Piawaian Makanan Australia New Zealand (FSANZ) mendapati bahawa penggunaan bahan ini tidak membahayakan kesihatan manusia,” katanya. 

Mengulas kebimbangan bahawa proses larut resap boleh berlaku apabila botol plastik PET terdedah kepada haba seperti botol ditinggalkan dalam kereta yang panas, katanya, pencemaran air bukan kerana botol plastik PET, tetapi akibat haba yang mempercepatkan proses penghasilan bakteria.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan